MAKA LIHATLAH...

“Berjalanlah di atas muka bumi, maka lihatlah...”

Lama rasanya tidak mengeluarkan post baru. Mungkin kerana kesibukan dan mungkin juga kerana ketiadaan idea untuk menulis. Kadang kala terlalu memikir akan isi sesuatu post yang hendak ditulis. Akhirnya tergantung di tengah jalan.


Post kali ini, saya ingin berkongsikan sesuatu. Ayuh kita mengembara ke dunia pemikiran sebentar. Bila dirunung kembali ayat di atas “Berjalanlah di atas muka bumi, maka lihatlah...” Walaupun ringkas, tetapi jika dihayati dang direnungi sungguh indah maknanya.


Dalam kejadian alam semesta ini, pelbagai kejadian yang tuhan ciptakan. Sama ada yang bernyawa ataupun tidak. Namun, manusia adalah diantara sebaik-baik kejadian yang diciptakan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud “kamu adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan, mengajak kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran, berimanlah kepada ALLAH..”


Banyak kesan tinggalan yang terdapat di atas muka bumi ini boleh kita jadikan ikhtibar dalam kehidupan. Sebagai contoh kesan daripada bencana alam yang menimpa, banjir. Baru-baru ini, banjir yang pernah melanda Johor pada 2006 yang lalu kembali lagi mengejutkan rakyat Johor. Panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Ramai yang menjangkakan bahawa setelah berlalunya bulan Disember 2010 maka Johor tidak akan dilanda banjir. Tetapi siapa sangka, ujian tuhan dating tidak mengira masa. Keikhlasan dan kesabaran diuji. Maka ikhlas dan sabarlah dalam menghadapi ujian tuhan.


Bumi Johor dilanda banjir lagi pada Februari 2011. Antara kawasan yang teruk dilanda musibah ialah Segamat dan Batu Pahat. Ia dikatakan lebih teruk berbanding tahun 2006 yang lalu. Mari kita renung sejenak, adakah ia musibah atau balasan tuhan atas perbuatan manusia.


Jika ia sebagai musibah atau ujian tuhan, maka bersabarlah dengan ujian dan musibah itu. Firman ALLAH yang bermaksud “ALLAh tidak akan menguji seseorang itu melainkan ia mampu untuk menghadapinya”. Moga-moga mangsa bencana banjir bersabar akan ujian tuhan itu. Ada penduduk yang mengatakan banjir itu sebagai rezeki. Saya terfikir, mengapakah dikatakan sebagai rezeki. Bila difikir dan direnung kembali, ia rezeki kerana untuk diuji keimanan dan ketaqwaan seorang hamba kepada tuhannya. Jika ujian tidak dating kepadanya, mungkin ia akan lalai dengan kemewahan dunia.


Jika ia sebagai balasan tuhan atas perbuatan manusia, sama-samalah kita renung kembali apakah puncanya. Ia sinonim dengan kiasan seekor anjing yang dibaling batu. Adakah anjing itu mengejar batu yang dibaling padanya? Sudah tentu jawapannya tidak. Kerana anjing itu akan mengejar kepada si pembaling batu itu.


Fenomena yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia berlaku disebabkan keegoan dan kesombongan manusia. Hanya disebabkan perbezaan dari fahaman pemikiran dan ideology, kita berpecah belah dari sudut agama. Mana mungkin disebuah masjid menunaikan solat jemaah dengan dua imam. Satu jemaah di bahagian hadapan masjid, satu jemaah lagi berada di tengah masjid. Mengapakah ia berlaku? Adakah perkara ini yang menyebabkan musibah yang menimpa. Sama-samalah kita renungkan.


Banyak juga ciptaan yang terdapat di atas muka bumi ini untuk menunjukkan tanda kebesaran ALLAH. Bumi yang menghijau, bukit bukau, sungai yang mengalir menunjukkan tanda kebesaran Tuhan. Namun, adakah manusia mengerti ia adalah tanda kebesaran Tuhan? Manusia hari ini melihat sesuatu itu sebagai kebesarab Tuhan apabila sesuatu yang pelik berlaku. Sebagai contoh, apabila ada pokok yang menyembah tanah seolah-olah sedang ruku’, apabila buah tembikai yang dibelah terdapat kalimah Allah itulah yang dikatakan manusia sebagai kebesaran ALLAH. Adakah tangan yang mereka miliki bukan sebagai tanda kebesaran ALLAH? Adakah dua kaki yang mereka gunakan untuk berjalan bukan sebagai tanda kebesaran ALLAH? Renungkanlah.


Ahad yang lalu, saya merencana untuk pulang ke Bandar Baru Bangi setelah bercuti. Di lebuh raya menghala ke utara penuh dengan kereta yang mungkin juga baru pulang dari bercuti. Saya mengambil keputusan untuk tidak melalui lebuh raya. Dari Jasin, saya terus menghala ke Bnadaraya Melaka. Sungguh tersergam indah Masjid Negeri Melaka, Al-Azim ditengah bandaraya. Saya meneruskan perjalanan menuju ke Alor Gajah. Pelbagai juga keindahan yang dapat saya lihat disepanjang perjalanan. Tempat-tempat dan nama kampong yang tidak pernah saya ketahui saya jumpa disepanjang perjalanan. Antaranya Lubuk China, Ramuan China, Bidur, Kampung Mengekek, Kampung Nyatoh dan banyak lagi. Saya meneruskan perjalanan menuju ke Negeri Sembilan melalui Rantau, Mambau danterus ke Seremban. Dari seremban singgah di Masjid Bandar Baru Nilai untuk menunaikan solat. Seusai solat, meneruskan perjalanan ke Bandar Baru Bangi.


Walaupun agak lama perjalanan dan juga keletihan, tetapi ia merupakan suatu pengalaman yang cukup beharga buat diri saya. Moga-moga kita menjadi hamba yang mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan juga sentiasa Sabar dan Ikhlas dalam meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

“Berjalanlah di atas muka bumi, maka lihatlah...”

This entry was posted on Monday, February 7, 2011 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.