MAHASISWA USIM MERENTAS ASEAN




Pengalaman ditimba, bakti ditabur, ukhuwah diperkukuh. Itulah antara kata-kata yang terungkap dalam Program Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia Merentas Asean 2011 ke Kemboja dan Vietnam. Program ini adalah anjuran Urusetia Latihan Pembangunan Mahasiawa (ULPM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal pelajar USIM ini telah berlangsung pada 10 hingga 16 Julai 2011 lalu.

Menurut Pengarah Program Aisyah Bt Nasir, objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan sebenar mengenai aktiviti sukaralewan kemasyarakatan, memberi peluang kepada mahasiswa untuk memberi sumbangan berkesan ke arah memajukan masyarakat Islam di luar negara dari segi kerohanian, intelektual dan jasmani sekali gus memperkasa jenama USIM ke persada antarabangsa.

“Ahli ULPM USIM pada sesi tahun 2009 terdahulu telah mengadakan kajian keberkesanan aktiviti badan pelajar di beberapa universiti di Korea Selatan, dan ULPM pada sesi kali ini menukar corak objektif program kepada aktiviti Pengantarabangsaan dan Baktisiswa kemasyarakatan dan memilih Kemboja dan Vietnam sebagai destinasi khidmat diberi” katanya.

“Program selama 3 hari di Kemboja dan 4 di Vietnam bagi menjalankan beberapa aktiviti-aktiviti yang dirancang telah disertai seramai 24 orang pelajar dan 2 orang pegawai pengiring” tambahnya lagi.
Antara beberapa program yang berlangsung di Kemboja ialah sumbangan pakaian terpakai kepada penduduk islam di Kampung Terapung Air Tasik Tonle Sap yang merupakan penduduk taraf hidup rendah dan golongan minoriti berbanding agama lain.

ULPM juga mengadakan pertemuan dua hala bersama Mufti Kemboja, Sohibus Samahah Haji Kamarudin Haji Yusof di pejabatnya di Phnom Penh seterusnya menjalankan aktiviti menulis tulisan khat dan nyanyian nasyid dalam bahasa melayu bersama-sama dengan pelajar Sekolah Menengah Agama An Nikmah, sekolah dibawah penyeliaan Pejabat Mufti Kemboja.

Antara program yang dijalankan di Vietnam pula ialah aktiviti kemasyarakatan di Kampung Choa Doc seperti sumbangan seorang 10kg beras kepada 100 wakil keluarga, sukaneka bersama penduduk, pembelajaran 3M, bacaan Qiraat, amali bacaan dalam solat, serta program Be-Smart menguji menyusun huruf-huruf alpahabet kepada anak-anak masyarakat Islam disana. Menurut penduduk di sana, ULPM juga merupakan Rombongan Malaysia yang pertama sampai ke kampung tersebut.

Menurut Pengerusi Urusetia Latihan Pembangunan Mahasiswa USIM, Zahaby Zainudin, program seumpama ini juga bertujuan melahirkan mahasiswa yang berkebolehan dari segala bidang dan selaras dengan motto ULPM iaitu Perintis Mahasiswa Berkualiti.

Pengalaman selama tujuh hari telah memberikan impak positif kepada ULPM USIM dalam merencana dan memperkasa pendekatan dan program yang berbeza pada masa akan datang yang mampu menjadikan ULPM sebagai platform terbaik melahirkan mahasiswa aktif dan agresif.

This entry was posted on Wednesday, August 10, 2011 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.